Jenis pengangkutan Kargo

Laut

Pelabuhan mengendalikan pelbagai barang muatan kapal.

  • Kereta dikendalikan di kebanyakan pelabuhan dan biasanya diangkut dengan kapal ro-ro yang khusus.
  • Kargo pukal cerai biasanya adalah bahan-bahan yang ditimbunkan di atas palet lalu diangkat ke dalam dan ke luar palka kapal oleh kren ke atas dok atau ke atas kapal itu sendiri. Jumlah karga pukal cerai semakin berkurangan di seluruh dunia ekoran perkembangan pengkontenaan. Antara cara untuk menambat angkutan pukal cerai dalam kontena intermodal adalah menggunakan beg kembung.
  • Kargo pukal seperti garam, minyak, lemak binatang, dan besi reja, biasanya ditakrifkan sebagai komoditi yang tidak terletak di atas palet mahupun di dalam kontena. Kargo pukal tidak dikendalikan secara satu demi satu seperti mana kargo angkat berat dan projek. Contoh-contoh lain: aluminum, biji-bijian, gipsum, kayu balak, dan serpihan kayu.
  • Kargo neopukal mencakupi barangan yang dibilang satu demi satu sambil dimuat punggah, dibandingkan dengan kargo pukal yang tidak dibilang, tetapi tidak dikontenakan.[1]
  • Kontena adalah golongan kargo yang paling laris dan pesat membangun di serata dunia. Kargo berkontena mencakupi segalanya baik kelengkapan kereta, jentera dan alat kilang mahupun kasut, mainan, daging dan makanan laut beku.
  • Kargo projek dan kargo angkat berat merangkumi barang-barang seperti kelengkapan perkilangan, penyaman udara, komponen kilang, penjana, turbin angin, kelengkapan tentera dan hampir segala barangan yang terlebih besar atau berat untuk dimuatkan ke dalam kontena.

Udara

Cargolux Boeing 747-400F yang terbuka pintu muatannya

Pesawat mula-mula digunakan untuk mengangkut surat sebagai barang angkutan pada tahun 1911. Lama-kelamaan, para pengilang mula mereka cipta pesawat untuk pelbagai jenis angkutan.

Terdapat banyak pesawat komersil yang sesuai untuk mengangkut kargo seperti Boeing 747 dan An‑124 yang direka khas untuk mudah diubah suai kepada pesawat kargo. Pesawat yang begitu besar menggunakan kontena cepat muat yang dikenali sebagai peranti beban unit (unit load device, ULD), lebih kurang seumpama kapal kargo berkontena. ULD terletak di bahagian hadapan pesawat.

Kebanyakan negara memiliki dan menggunakan sejumlah besar pesawat kargo tentera seperti C‑17 Globemaster III untuk keperluan logistik.

Keretapi

Gerabak kontena kargo intermodal P&O Nedlloyd di Stesen Banbury (2001)

Kereta api mampu mengangkut sejumlah besar kontena yang didatangkan dari pelabuhan kapal, di samping juga digunakan untuk mengangkut keluli, kayu dan arang. Kereta api digunakan kerana mampu menampung jumlah angkutan yang besar serta sering menggunakan laluan terus ke destinasi. Dalam keadaan yang mengizinkan, pengangkutan kargo secara kereta api lebih menjimatkan belanja dan tenaga daripada jalan raya, terutamanya untuk angkutan pukal dan jarak panjang.

Kelemehan utama angkutan kereta api adalah tiadanya kefleksibelan. Oleh sebab itu, kereta api kurang berdaya saing dengan pengangkutan jalan raya, malah tertakluk kepada kos pemindahan kerana angkutannya perlu dipindahkan dari satu kaedah ke kaedah pengangkutan yang lain. Amalan seperti pengkontenaan bertujuan mengurangkan kos-kos tersebut.

Kebanyakan kerajaan sedang cuba menggalakkan pengusaha kargo untuk melebihkan penggunaan kereta api atas alasan mesra alam.[2]

Jalan raya

Rencana utama: Lori

Kebanyakan firma seperti Parcelforce, FedEx dan R+L Carriers mengangkut segala jenis kargo dengan kenderaan jalan raya. Baik surat mahupun rumah dan kontena kargo, syarikat-syarikat sedemikian menawarkan penghantaran yang secepat dalam masa sehari.

Contoh terutamanya sekali adalah makanan, kerana pasar raya memerlukan penghantaran hari-hari untuk memastikan rak-raknya sentiasa berisi barang-barangan. Segala jenis peruncit mengharapkan lori penghantaran, baik lori semitreler saiz penuh atau van penghantaran kecil-kecil. ☺